Tuesday, August 7, 2012

Siapakah Anak Angkat Kesayangan Rasulullah SAW ???







Bilal Bin Rabbah pada mulanya  adalah hamba sahaya. Tuannya bernama Umiyat. Pun begitu beliau merupakan dia antara kumpulan orang-orang pertama yang telah menerima & memeluk Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammmad SAW.

Apabila diketahui oleh Umiyat tuannya, Bilal mula diseksa dengan penyeksaan bagaikan haiwan. Pada leher Bilal telah diikatkan seutas tali, manakala hujung tali tersebut telah diberikan kepada sekumpulan kanak-kanak yang telah menarik Bilal dan mempermain-mainkannya.

Biarpun diheret ke sana ke mari, di bibir Bilal tidak pernah lekang dengan ucapan Ahad, Ahad, Ahad (satu, satu, satu). Hatinya begitu yakin dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Tidak cukup dengan diseret dan diperolok-olokkan, pada suatu hari Bilal telah dibawa ke sebuah tanah lapang yang sangat panas.

Di situ dikhabarkan, jika dijemur daging yang mentah pun ia boleh dimasak dengan sendirinya. Bilal bukan sahaja dijemur di padang pasir yang panas menyengat itu, malah dadanya turut ditindih dengan seketul batu.

"Begitulah hendaknya keadaan engkau sehingga mati. Atau engkau boleh ingkar terhadap ajaran Muhammad!" jerkah si Umiyat. Iman yang kental telah meyakinkan Bilal. Dia tabah melalui penyeksaan.

Keyakinannya amat mendalam dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia tetap teguh dengan pendiriannya sambil mengesakan Allah dengan ucapan Ahad, Ahad tanpa henti. Walaupun diseksa dengan amat dasyat.

Kejadian ini telah sampai kepada pengetahuan Sayidina Abu Bakar As-Siddiq. Setelah itu Sayidina Abu Bakar telah membeli Bilal bin Rabbah daripada Umiyat dan memerdekakannya.

Itulah detik permulaan dunia bebas bagi Bilal bin Rabbah sehingga menjadikan beliau anak angkat  kesayangan Rasulullah SAW dan menjadi muazin yang pertama, mengalunkan azan setiap waktu tibanya masa bersolat serta dikurnai Allah dengan kelebihan suara yang merdu dan lantang.

Kisah ini mengajar kita betapa keteguhan iman kepada Allah, merupakan benteng-benteng musuh Islam dalam usahanya untuk menghancurkan Islam melalui godaan syaitan laknatullah. Sungguh mengagumkan kekuatan iman yang ditunjukkan oleh Bilal bin Rabbah meskipun telah diseksa dengan pelbagai seksaan yang kejam oleh tuannya Umiyat. Semoga kisah ini dapat memberi pengajaran dan menambahkan lagi kekuatan kita dalam beribadah kepada Allah. Amin...




Nota Hati Nur ^^ ---> Belajarlah untuk menguatkan & menambahkan keimanan kita setiap hari kerana iman manusia bagaikan ombak, ada pasang surutnya. Insya-allah, dengan doa yang ikhlas, kita dikurniakan keteguhan iman :)


SUMBER
-Majalah Anis Bil 172


No comments:

Post a Comment